Blogger Layouts

Jumaat, 11 September 2009

Selamatkanlah rumahtangga, dengan hikmah Ramadhan dan Taqwa.

Artikel ini merupakan antara artikel yang diminati oleh suami saya dr website ustz hasrizal. Beliau meminta saya membacanya dan meletakkan dalam blog ini...

Abg, maafkan wahida...Semoga rumah tangga kita kekal di dunia dan akhirat..Dan wahida menjadi bidadari abg di sana..

Selamatkanlah Rumahtangga Dengan Hikmah Puasa



September 3rd, 2009 | by Abu Saif | 6,199 views | Print | Email |

“Ya Allah, susah sangat ke nak picit ubat gigi ni elok-elok?
” rengus si suami.
Geram melihat tiub ubat giginya penyek-penyek dipicit isteri. Dia memicit ubat gigi itu dengan tertib, dari bawah ke atas.
Kemas.
Si isteri pula memicit sesuka hati.
Setiap pagi kerja si suami ialah membetul dan mengemaskan tiub ubat giginya yang penyek di sana sini.

“Hishh, geramnya aku. Kau tak faham-faham ke? Aku ceraikan engkau talak satu!” sumpah si suami.
Bergegar arasy Allah Subhanahu wa Ta’aala!

BENCANA RUMAH TANGGA


Kisah di atas adalah di antara kisah paling pelik yang pernah diceritakan kepada saya tentang mudahnya pasangan hari ini memutuskan ikatan perkahwinan. Hanya kerana masalah ubat gigi, ikatan akad AKU TERIMA NIKAHNYA boleh terbubar begitu sahaja.
Baru berkahwin seminggu, atau sudah dua puluh tahun bersama, faktor masa itu juga sudah tiada makna.
Seminggu, sepatutnya masih hangat dengan bulan madu. Tetapi talak jatuh dengan begitu mudah.
Dua puluh tahun, sepatutnya sudah begitu saling serasi lagi memahami. Tetapi talak jatuh bagi semua itu tiada ertinya lagi.
Kehancuran institusi rumahtangga masyarakat kita semakin membimbangkan. Kita itu adalah kita yang Muslim. Melayu yang Muslim. Penceraian sudah menjadi kebiasaan. Daripada artis hingga kepada orang kebanyakan. Bercerai dan meruntuhkan masjid yang dibina, sudah menjadi perkara enteng bagai tidak punya sebarang harga dan makna.
Salah satu faktor terbesar yang menyumbang kepada kesengsaraan sosial ini ialah hilangnya daya kawalan diri.
Bacalah apa sahaja buku motivasi, ceramah yang hebat-hebat, tips yang bersusun tersenarai, segalanya hilang daripada pertimbangan apabila manusia hilang kawalan diri.

ERTI GAGAH YANG SEBENAR

Renungkan pesanan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Hadith Muttafaq ‘alayh]
Juara gusti gagal mempertahankan rumahtangganya jika gagahnya hanya pada menumpaskan musuh di gelanggang, tetapi tidak pada daya kawalan diri yang tinggi semasa baran menguasai emosi.

Seorang CEO tidak mampu menyelamatkan rumahtangganya yang hanya ada satu perempuan dan dua remaja, sedangkan dirinya begitu sukses mentadbir sebuah syarikat yang ada 500 orang pekerja. Segalanya gara-gara hilang kawalan diri.
Justeru itu, Sunnah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memperlihatkan bagaimana khutbah nikah dibina dengan tiga petikan ayat al-Quran yang setiap satunya menyentuh soal TAQWA.

Membina rumahtangga dengan TAQWA itu bukan retorik. Ia adalah sendi terpenting dalam menjaga kesejahteraan rumahtangga yang belayar dengan indah dan payah.
ERTI TAQWA

Seperti ungkapan dialog di antara Ubay bin Ka’ab dengan Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhuma:

Umar al-Khattab telah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab radhiyallaahu ‘anhuma tentang TAQWA. Lalu Ubay menjawab (dengan bertanya soalan):,”Pernahkah engkau lalu di jalan yang banyak duri?” Umar menjawab, “Sudah tentu!” Ubay bertanya, “Justeru apa yang engkau lakukan?” Umar menjawab, “Aku akan mengangkat sedikit kainku dengan aku akan melangkah dengan berhati-hati.” Ubay berkata, “Itulah yang dimaksudkan dengan TAQWA”
Jelas sekali perumpamaan yang diberikan oleh Ubay kepada Umar.
Andaikata TAQWA itu diterjemahkan ke dalam konteks sebuah rumahtangga, ia seumpama daya melangkah dan memandu diri yang baik dalam menempuh segala onak dan duri serta liku-liku perjalanan sebuah rumahtangga. Melangkah dengan berhati-hati, yakni hasil suatu daya kawalan diri yang baik.

Kata seorang isteri, “saya benci dengan sikap abang yang mendiamkan diri. Kalau abang dah tak sudi dengan saya…!

Berhenti!!!
Jangan dihabiskan ayat itu.
Belajarlah mengawal diri dengan baik. Jangan diikutkan perasaan yang sedang panas dan bergejolak itu. Jangan terlalu mudah meminta dilepaskan. Jangan senang sangat meminta CERAI!
Namun dari satu sudut, jika hilang kawalan diri itu banyak berlaku di kalangan sang isteri, sekurang-kurangnya ada ruang untuk kita memahaminya. Mereka insan yang kaya perasaan. Emosinya bagai lautan. Justeru hilang pertimbangan itu memang mudah terjadi.
Mulut yang mudah meminta cerai itu, janganlah para suami tidak bersedia untuk mendepaninya.
Akan tetapi, bagaimana pula jika suami pun emosi sama?
Terlalu mudah hilang pertimbangan, melenting, sama ada kerana tekanan hidup yang berat, atau ego yang menggunung. Sesungguhnya kejantanan seorang lelaki itu bukanlah keutamannya pada misai melintang, badan berbulu atau suara garau ala-ala Suhaimi Mior Hasan. Kejantanan besar seorang lelaki itu adalah pada kuatnya daya kawalan diri, dalam mengemudi kehidupan, khususnya dalam bahtera rumahtangga.
Berfikir panjang.
Bertenang.
Bertindak dengan pertimbangan rasional.
Bukan emosional.
RAMADHAN DENGAN HIKMAHNYA

Besarlah khasiat Ramadhan dalam membantu kita menyelamatkan rumahtangga.
Rumahtangga yang sendinya adalah TAQWA, bukankah Ramadhan datang untuk itu?

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah difardhukan ke atas kamu sebagaimana ia telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” [al-Baqarah 2: 183]
Sayangnya Allah kepada kita, diberikan-Nya satu bulan dalam setahun, untuk kita belajar mencapai TAQWA. Bekalan untuk kesejahteraan hidup, kesejahteraan perkahwinan dan rumahtangga.
Apakah yang diajar oleh puasa, agar meningkat nilai taqwa?
Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan pelajaran.
Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan latihan.
Tetapi ketika kita ada segalanya untuk dimakan, namun kita memilih untuk tidak makan, kerana mentaati Allah, itulah latihan. Ia adalah latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan diri, supaya kita dapat tingkatkan daya kawalan diri!
Itulah Taqwa.
Kawalan kehendak-kehendak sendiri untuk selamatkan diri, rumahtangga, anak dan bini.

HAMBA KEPADA DIRI SENDIRI


Apabila seseorang itu tidak mampu untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan dirinya, ia menjadi bencana yang amat membinasa. Renunglah firman Allah:
“Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, justeru dia disesatkan oleh Allah di atas ilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [al-Jaathiyah 45: 23]
Bertuhankan tuhan yang palsu tidak perlu menyembah busut atau berhala.
Cukup dengan Allah berkata A dan nafsu mahukan B, lalu diutamakan nafsunya mengatasi perintah Allah, maka manusia ini telah mengangkat nafsunya sebagai tuhan! Siapakah golongan itu? Iaitulah golongan yang tidak mampu berkata TIDAK kepada kecenderungan dan permintaan hawa nafsunya sendiri.
Tidak mampu mengawal diri.

Dia menjadi hamba, kepada kepentingan dirinya sendiri, semata-mata.
Manusia sebegini, biar pun ilmunya banyak, ilmu itu menjadi lumpuh kerana segala-galanya bukan lagi atas keputusan ilmu tetapi di atas keputusan kemahuan diri yang tidak terkawal itu.
Profesor.
Ustaz.
Ahli pemikir.

Tumbang, apabila ilmu gagal melepaskan dirinya daripada dorongan kemahuan diri yang mengundang binasa.
Di sinilah datangnya hikmah Ramadhan.
Puasa dan segala pakejnya mengajar kita untuk mampu mengawal diri. Mampu berkata tidak kepada diri sendiri, tatkala apa yang dimahukan itu, mudharat dan bukan lagi manfaat!

TENANG DALAM PROVOKASI


“Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa” [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]
Secara khusus di bulan Ramadhan ini, andaikata kita terperangkap dalam satu situasi yang sangat mengajak kepada berasapnya kepala dengan kemarahan, tindakan yang diajar oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah melepaskan kejadian itu tanpa perlu membalas atau melawan. Cukup sekadar diluahkan dengan kenyataan, “sesungguhnya aku berpuasa!”

Bukan mahu memangsakan diri.
Tetapi belajar untuk mengawal diri.
Teladan inilah seni terbesar dalam mengawal kelangsungan sebuah rumahtangga.
Jangan semua leteran mahu dibalas dengan leteran. Jangan semua cakap menghina mahu dibalas dengan penghinaan. Jangan semua tingkah laku yang menimbulkan kemarahan itu dibalas dengan kemarahan. Belajarlah mengawal diri, belajarlah untuk tidak melatah dan jangan bertindak mengikut rangsangan.
Semoga dengan hikmah Ramadhan, kuranglah pertengkaran. Kuranglah pergaduhan. Kuranglah penceraian.

Selamatkanlah rumahtangga, dengan hikmah Ramadhan dan Taqwa.
Kerana pulut santan binasa,
Kerana mulut badan binasa;
Kerana ribut badai melanda,
Tersalah sebut buruk akibatnya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
http://saifulislam.com/?p=6646

Selasa, 8 September 2009

Renjis Ramadhan dengan ‘Ibrah Nuzul Quran


Renjis Ramadhan dengan ‘Ibrah Nuzul Quran


Bulan Ramadhan Al-Mubarak kini telah melepasi pertengahan bulan yang mana umat Islam digalakkan untuk meningkatkan amal ibadah mereka. Pelbagai peristiwa juga dikaitkan dengan pertengahan dan pengakhiran Ramadhan. Antaranya adalah diturunkan Al-Quran pada pertengahan bulan iaitu pada 17 Ramadhan yang mana pada 17 Ramadhan juga telah berlakunya Perang Badar yang tercatat di dalam lipatan sejarah Islam. Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah pada malam-malam terakhir Ramadhan yang mana terdapat padanya malam LailatulQadar.


Pada tanggal 17 Ramnadhan 1430H baru-baru ini, umat Islam diseluruh negara dan kita semua umat Islam di negara kita, Malaysia telah meraikan sambutan Nuzul Quran dan banyak program-program keagamaan yang dianjurkan oleh pihak masjid/surau/taman bagi membangkitkan ingatan orang ramai terhadap satu lagi peristiwa bersejarah yang patut diraikan oleh semua umat Islam.

Al-Quran jika dilihat pada maksudnya adalah bacaan atau himpunan yang mana di dalamnya terdapat pelbagai perkara berkaitan urusan seharian melibatkan soal tauhid, ibadat, jinayat, munakahat, kenegaraan, muamalat serta di dalamnya juga terungkai persoalan sains dan teknologi. Begitulah kehebatan mukjizat Al-Quran dan jika dihayati tentang isi kandungan dan intipati ayat-ayat suci Al-Quran, ia mampu memberi kesedaran dan memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang membaca dan mengahayati maksudnya.



Al-Quran diturunkan kepada umat manusia sebagai panduan dan bimbingan dalam meniti kehidupan yang sementara di dunia ini. Al-Quran jika dihayati dan diikuti secara keseluruhannya, merupakan panduan perlembagaan yang terbaik untuk kehidupan dan semua makhluk di dunia. Selain itu, Al-Quran juga sebagai penawar dan penyembuh dari pelbagai penyakit hati. Ini jelas digambarkan menerusi ayat Al-Quran yang bermaksud : “Sesugguhnya sudah datang kepadamu sebuah pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada di dalam dada)” (Surah Yunus: 57).

Pembacaan dan penghayatan (at-tilawah wat tadabbur) Al-Quran pada masa kini dilihat benar-benar penting bagi mengelak dan menjauhkan umat Islam dari pelbagai penyakit sosial yang benar-benar merugikan masyarakat. Remaja masa kini benar-benar telah menjauhi Al-Quran dan sering mendekatkan diri mereka dengan dunia hiburan yang melalaikan. Bersempena dengan sambutan Nuzul Quran, marilah kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan janganlah kita sesekali menjauhkan diri dari Al-Quran kerana pembacaan dan penghayatan terhadapnya benar-benar mendatangkan ketenangan kepada diri kita.

Kepada golongan remaja, jadikanlah Al-Quran sebagai pendamping dan dekatkanlah diri kepada Al-Quran sebagai panduan terhadap kebenaran yang kekal selamanya. Menurut buku ‘Penjelasan Mengenai Al-Quran’ yang dikeluarkan oleh Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, terdapat beberapa perkara yang dapat dikongsikan bersama sebagai panduan mendekatkan dan menghayati pembacaan Al-Quran :

* Yakin terhadap kebesaran dan keagungan ayat-ayat yang dibaca. Keyakinan itu bersandarkan bahawa ayat-ayat yang dibaca itu adalah kalam Allah yang memiliki dan memerintah sekelian alam dan Allah jugalah yang menurunkannya (Al-Quran) dan difardhukan kepeda hamba-hambaNya mengikutinya serta diwajibkan kepada mereka beriltizam dengan segala tuntutannya. * Yakin bahawa Al-Quran menjadi makanan hati dan jiwa pembaca, matlamat segala segala keperluannya dan kelazatan rohnya. Ia juga menjadi penawar terhadap apa saja kesulitan yang dihadapi oleh manusia seperti kepedihan, dukacita, masalah peribadi dan masyarakat. * Sentiasa takutkan azab Allah dan seksaanNya sekiranya berpaling daripada Al-Quran dan penghayatannya.

Jadi, bersempena dengan sambutan Nuzul Al-Quran, marilah sama-sama kita mendekatkankan diri dengan Al-Quran dan menjadikan AL-Quran sebagai wadah pembangunan jiwa dan rohani yang bersih serta tegakkannya melalui praktikal amali kehidupan harian kita sebagai mukmin dan pentadbiran negara.



Jumaat, 4 September 2009

Setia seorang isteri




Pagi nie jam 9.15, saya bertolak dari rumah kota damansara ke kl menemani suami ke mesyuarat...Saya bertanya kepada suami jam berapa habis mesyuarat..Suami saya memberi jawapan: "abang kurang pasti..Mgkn lepas zuhur baru habis..Jadi bersedialah sayang untuk kita berbuka puasa di luar jika tidak sempat..abang dah tinggal duit untuk fahmi beli makanan untuk dia berbuka nanti.."huhu..mendengar jawapan tersebut sememangnya terbit dalam hati saya malasnyer nak pergi lalu saya memberitahu kepada suami bahawa saya kemalasan saya..Tetapi apabila memikirkan permintaan dan keinginan suami tersayang untuk berada di sisinya lalu saya dengan perasaan berbunga membuka hati saya untuk pergi..


Sesampainya di sana, kami mendapat maklumat bahawa mesyuarat ini akan habis jam 4 pm..Alhamdullah nasib baik bawa laptop bersama, bolehlah surf internet dan buat sedikit kerja sementara menanti suami yang tersayang habis mesyuarat..Saya juga mengambil peluang ini untuk mengupdate blog saya dan masa yang terluang juga saya dapat isikan dengan berzikir kepada Allah..


Rupanya ada hikmahnya setia seorang isteri menemani suaminya ini..










SALAM RAMADHAN..